Sunday, May 18, 2008

Bagaimana kuku manusia terbentuk


Kuku manusia dihasilkan daripada keratin sama seperti rambut manusia dan bahagian luar kulit manusia. Asal keratin ialah protein.
Pada jari anda terdapat satu kawasan rata yang terletak di lapisan bawah kuku yang dikenali sebagai nail bed.
Ia terletak di atas urat darah yang halus dan urat ini memberi makanan dan warna merah jambu kepada kuku anda.
Apabila sel-sel akar nail bed membesar dan membentuk keratin maka akan lahirlah kuku!
Lapisan-lapisan keratin akan terikat antara satu sama lain dan kuku akan mula tumbuh keluar daripada akar nail bed sehingga ke hujung jari tangan atau jari kaki.
Kebanyakan manusia mengalami pertumbuhan kuku yang perlahan.
Malah kuku yang anda lihat sekarang mungkin tidak akan diganti dengan kuku baru dalam tempoh enam bulan atau setahun dari sekarang.
Di bahagian akar kuku iaitu pertemuan antara kuku dan kulit anda ialah kutikel.
Setiap kuku mempunyai kutikel masing-masing dan ia membantu menghalang sel baru keratin yang keluar untuk membentuk kuku baru.

Kasawari burung paling berat di dunia


Burung kasawari merupakan burung paling berat dan besar di dunia. Bagaimanapun burung ini tidak boleh terbang dan tidak mempunyai keeled sternum atau tulang dada seperti burung-burung lain.
Burung ini sangat kuat dan dikatakan satu tendangan sahaja terhadap pemangsanya seperti singa boleh mendatangkan maut.
Burung kasawari betina mempunyai kelebihan mengenali telurnya sendiri walaupun telur-telur itu telah bercampur dengan telur yang dihasilkan oleh burung kasawari lain.
Sebiji telur burung kasawari berukuran sama dengan 24 biji telur ayam. Ini bermakna ia mengambil masa selama dua jam untuk merebusnya.
Burung kasawari boleh berlari sehingga 70 kilometer sejam, mengalahkan singa, harimau bintang dan hyena.
Sikap burung kasawari yang suka memasukkan kepalanya di dalam lubang sebenarnya bertujuan untuk merehatkan lehernya selain menyembunyikan diri.
Burung ini memakan buah-buahan, bijian dan tumbuh-tumbuhan serta cicak kecil yang terdapat di kawasan gurun atau kering.
Burung kasawari mempunyai hubungan rapat dengan manusia sejak beribu tahun lalu.
Peladang di zaman Mesir purba menggunakan burung ini untuk berladang dan telurnya digunakan sebagai hiasan serta mengisi air oleh orang Bushmen.
Burung kasawari boleh hidup sehingga 40 tahun.

Apa itu virus, cecacing dan trojan komputer?

SEJAK beberapa minggu lepas, kebanyakan media massa memberi perhatian yang besar kepada berita-berita mengenai serangan virus atau cecacing komputer yang telah menyebabkan masalah kepada pengguna komputer dan juga negara.
Nama-nama virus atau cecacing seperti Blaster, Nachi dan Sobig.F tiba-tiba menjadi sebutan ramai, walaupun tidak ramai yang mengetahui apa sebenarnya itu virus komputer.
Secara asasnya, virus komputer tidak sama dengan virus penyakit walaupun kedua-dua boleh menjangkiti dengan sendiri, kerana virus komputer merupakan program komputer yang direka manusia.
VIRUS KOMPUTER
Virus komputer ialah program komputer yang boleh merebak ke dalam komputer dan sistem rangkaian dengan menyalinkan dirinya sendiri (kebiasaannya tanpa pengetahuan pengguna).
Sejarah penciptaan virus bermula pada pertengahan 1980an apabila Bahir dan Amjad Alvi dari Lahore, Pakistan telah mencipta virus komputer yang pertama untuk menghalang daripada pengguna menyalin perisian mereka secara haram.
Virus sentiasa memberi kesan negatif kepada pengguna komputer, sama ada ia dilakukan secara suka-suka (ancaman palsu), bermotif merosakkan atau melindungi produk mereka (seperti dilakukan Bahir dan Amjad).
Program virus kebiasaannya perlu dijalankan sebelum ia boleh beroperasi seperti menjangkiti fail atau program komputer yang kita gunakan.
Sebaik sahaja kita membuka program atau fail komputer itu, program virus (yang berada didalamnya) akan terus aktif dan menjalankan aktivitinya.
Memandangkan aplikasi paling popular masa kini ialah e-mel, banyak virus telah dicipta agar dibawa bersama e-mel yang dihantar oleh pengguna dan ia akan terus menjangkiti komputer penerima e-mel apabila lampirannya dibuka.
Contoh paling terkini virus jenis ini ialah virus Sobig.F. Sebelum ini, medium utama pembawa virus ialah disket yang selalu kita kongsi antara beberapa komputer.
CECACING KOMPUTER
Cecacing komputer juga mempunyai persamaan dengan virus komputer tetapi ia tidak memerlukan pembawa (seperti e-mel atau disket) untuk menjangkiti komputer lain.
Program perisian yang sangat kecil ini kebiasaannya akan mampu menyalinkan dirinya sendiri dan menjangkiti dari komputer kepada komputer dalam satu rangkaian komputer (seperti rangkaian komputer-komputer di sekolah atau pejabat).
Selepas sebuah komputer dalam rangkaian dijangkiti, cecacing akan melakukan aktiviti pengimbasan (scan) kepada komputer-komputer lain dalam rangkaian untuk mencari kelemahan agar ia boleh menjangkiti lagi komputer seterusnya.
Ia mampu melakukan beratus atau beribu imbasan dalam seminit yang jika terlalu banyak imbasan boleh menyebabkan sesuatu rangkaian menjadi lembap seperti pengguna sukar mengakses e-mel, membuka laman web dan sebagainya.
Contoh paling terkini, virus jenis ini ialah cecacing Blaster dan Nachi yang merebak dengan pantas.
TROJAN KOMPUTER
Trojan juga termasuk dalam kategori program komputer yang merosakkan. Ia merupakan program yang sering mengelirukan pengguna dengan mendakwa boleh melakukan sesuatu (seperti membaiki kelemahan program komputer) tetapi akan melakukan sebaliknya.
Program Trojan yang dikenali sebagai Trojan horses itu kadang kala akan memadamkan seluruh cakera keras komputer anda jika ia telah dipasang.
Bagaimanapun, program ini tidak boleh menyalinkan dirinya sendiri untuk menjangkiti komputer.
Trojan jenis back door pula akan berada dalam komputer anda dan ‘membuka pintu’ kepada virus atau pengguna komputer di luar mengakses sistem komputer anda.
Melindungi dari virus adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pengguna komputer kerana ia sebenarnya boleh dihindari jika semua pengguna menggunakan komputer mereka dengan bijak.
Perkara paling penting perlu dilakukan oleh pengguna komputer ialah menyimpan salinan semua data-data atau fail penting dalam komputer bagi menggelakkan ia hilang jika berlaku masalah akibat serangan virus.
Pengguna juga perlu sentiasa memastikan perisian komputer sentiasa dikemaskini seperti perisian Windows atau Internet Explorer yang boleh dikemaskini di laman web Windows Update.
Selain itu, pastikan juga perisian anti-virus seperti perisian Trend, Norton, Symantec dan sebagainya telah dipasang kepada komputer anda dengan sentiasa dikemaskini versi pattern dan enjinnya melalui laman-laman web syarikat perisian tersebut.
Anda juga perlu mengelakkan diri dari menggunakan disket pada komputer yang tidak diketahui statusnya, mengunjungi laman web yang tidak berfaedah, memindah-terima (download) program atau perisian dari laman web yang tidak dipasti syarikatnya bagi menggelakkan komputer mudah dijangkiti.
Bagi menggelakkan virus dari e-mel pula, jangan sesekali membuka e-mel yang kelihatan mencurigakan walaupun ia datangnya dari alamat e-mel rakan anda kerana kemungkinan besar itu dihantar dengan sendiri oleh virus dan bukannya rakan anda.