Monday, June 16, 2008

Antratika!!!

BENUA Antartika - tiada tempat di dalam dunia ini yang dapat menandingi keunikan dan keindahan kawasan ini yang diliputi lautan salji tanpa mengira musim.

Antartika dikatakan paksi kepada pembentukan sejarah awal benua. Menurut ahli-ahli geologi, di sekitar 360 juta tahun lalu, daratan bumi ini sebenarnya bersatu di sekitar kutub selatan.

Satu daratan yang disebut Pangeas kemudian terpecah dua menjadi Laurasia dan Gondwana. Seterusnya, kedua-duanya ini terurai dan menjadi benua-benua dan pulau-pulau yang kini tersebar mengelilingi bumi.

Manusia mula mendekati benua Antartika sejak 1820.

Bagaimanapun, penjelajahan di daratan Antartika hanya bermula pada awal 1990-an.

Bumi Antartika sebenarnya menyimpan seribu satu macam rahsia yang masih belum diterokai manusia kerana pelbagai halangan yang tidak terlawan oleh kudrat mahupun teknologi canggih ciptaan manusia.

Di sebalik putih sucinya, benua Antartika sebenarnya begitu ‘keras’ dan telah mengorbankan banyak nyawa.


Blue whale adalah ikan paus biru yang terdapat di Antartika.

Sejak lebih 45 tahun lalu, lebih 200 ilmuan dan saintis yang menjalankan penyelidikan di benua ini tewas dan terkorban kerana suhu sejuknya yang melampau.

Ikuti beberapa fakta menarik yang perlu anda tahu mengenai benua Antartika.

  • Benua Antartika diselaputi ais sejak 35 juta tahun dahulu.
  • Benua Antartika sebenarnya adalah sebuah gurun yang hampir sama dengan Gurun Sahara.
  • Perairan Antartika adalah antara kawasan yang paling berangin di dunia dengan cacatan kelajuan angin sehingga 200 batu sejam.
  • Suhu di Antartika sememangnya tidak menentu. Antara yang pernah dicatatkan ialah penurunan suhu sehingga 65 darjah Ferenheit dalam masa 12 minit sahaja.
  • Puncak tertinggi di Antartika ialah Vinson Massif dengan ketinggian 4,897 meter.
  • Benua Antartika juga sebenarnya mempunyai gunung berapi, tetapi tidak ada satu pun yang aktif.
  • Sampel ais yang dikenali sebagai empulur ais (ice core) adalah sampel penting yang selalu diambil oleh saintis untuk tujuan uji kaji.
  • Empulur ais berbentuk silinder panjang ini memberikan maklumat-berguna mengenai sesuatu perkara sejak berpuluh-puluh ribu tahun dahulu. Ini kerana, objek-objek yang terperangkap dalam ais itu termasuklah buih-buih udara memberikan informasi yang sangat berguna mengenai cuaca dan iklim dunia pada sesuatu masa dahulu.

  • Sekumpulan penguin jenis emperor di dataran ais Antartika.

  • Jika semua bongkah ais (ice sheets) yang terdapat di Antartika cair, air laut di seluruh dunia akan meningkat antara 60 hingga 65 meter.
  • Kebanyakan hidupan laut di Antartika termasuklah ikan mempunyai sejenis bahan anti sejuk dalam darah masing-masing untuk mengelakkan binatang-binatang ini menjadi beku.
  • Pada musim sejuk yang melibatkan suhu sejuk melampau dan keadaan gelap berterusan selama enam bulan, terdapat kira-kira 900 orang saintis yang menjalankan penyelidikan di 34 stesyen. Jumlah saintis ini bertambah sehingga 3,000 orang pada musim panas.
  • Serangga terbesar di atas tanah di Antartika sebenarnya ialah sejenis serangga kecil tanpa sayap - Belgica antarctica yang berukuran kurang daripada 1.3 cm panjang.
  • Tiada serangga terbang di Antartika (kerana ia akan mudah ditiup angin), sebaliknya hanyalah jenis serangga seperti kutu yang menghinggapi penguin.
  • Antartika adalah tempat terbaik di dunia untuk melihat tahi bintang. Tidak seperti di tempat biasa yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan, tahi bintang boleh dilihat secara jelas di persekitaran Antartika yang serba putih.
  • Keadaan sejuk dan kering di ‘Daerah Kering’ di Antartika hampir menyamai keadaan di planet Mars seperti mana yang pernah diuji oleh pihak NASA. Di daerah kering itu, tiada hujan dicatatkan sejak 2 juta tahun lalu.

  • Saintis menjalankan penyelidikan di Antartika.

  • Dianggarkan, semasa musim makan di Antartika, paus biru (blue whale) memakan kira-kira 40 juta krill (sejenis hidupan laut seperti udang) setiap hari ataupun 3,600 kilogram atau 4 tan setiap hari selama enam bulan.
  • Jumlah pengambilan makanan itu boleh mengenyangkan seorang manusia selama empat tahun!.
  • Sejak kemunculan benua Antartika lebih 20 juta tahun dahulu, tidak banyak hidupan lautnya yang berubah. Ikan-ikan di Antartika hidup pada suhu antara 2 darjah Celsius hingga - 2 darjah Celcius sejak lima juta tahun lalu. (-2 darjah Celcius adalah tahap beku air laut iaitu di bawah kosong kerana kandungan garam). Secara puratanya, suhu musim panas di Antartika ialah -30 darjah celcius manakala purata suhu musim sejuk ialah -60 darjah celcius.
  • Suhu paling rendah yang pernah dicatatkan ialah -89.6 darjah celcius iaitu di stesyen Russian Vostok. Hanya kira-kira 0.4 peratus daripada Antartika yang tidak diselaputi ais.
  • Di Antartika, terdapat sejenis kumpulan ikan yang agak pelik yang dipanggil ikan ais (ice fish). Ikan ini tidak mempunyai pigmen darah merah - haemoglobin dalam darah untuk membawa oksigen. Memandangkan suhu di sana sangat sejuk dan oksigen boleh larut dalam suhu yang sejuk, ikan ini boleh hidup tanpa haemoglobin.
  • Baru-baru ini, DNA ikan ini didapati telah rosak kerana tahap sinaran tinggi ultra violet akibat lubang ozon.

    Ikan ini kurang pigmen yang boleh menghalang sinaran UV.


    Antartika terletak di Kutub Selatan

    FAKTA PENTING

    Tahukah anda terdapat perbezaan yang nyata antara kawasan Artik dan Antartika.

    Kawasan Artik terletak di Kutub Utara manakala Antartika terletak di Kutub Selatan.

    Kawasan Artik adalah lautan yang dikeliling oleh benua dan pulau-pulau manakala Antartika adalah benua yang dikelilingi oleh lautan.

    Walaupun Artik pada dasarnya ialah seperti laut beku, pengaruh air secara sederhana menjadikan iklim di kawasan ini lebih sesuai untuk kehidupan manusia dan binatang berbanding benua antartika.

    Di kawasan Artik, salji lebih mudah cair dan mengalami proses pengejatan berbanding di Antartika. Keadaan ini menjadikan pembentukan ais kurang berbanding di Antartika.

    Semasa musim panas, kawasan di Artik tidak mempunyai ais dan ini memberi peluang kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup.

    Kawasan Artik dihuni oleh manusia sejak 20,000 tahun lalu manakala di Antartika tiada penduduk tetap, hanya bermusim.

    Banyak negara menuntut haknya ke atas Antartika, walaupun ia diistiharkan sebagai milik antarabangsa.

    Sementara itu, kawasan Artik pula, dimiliki oleh lapan negara yang berbeza iaitu Norway, Sweden, Finland, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Greenland dan Iceland.

    Sunday, May 18, 2008

    Bagaimana kuku manusia terbentuk


    Kuku manusia dihasilkan daripada keratin sama seperti rambut manusia dan bahagian luar kulit manusia. Asal keratin ialah protein.
    Pada jari anda terdapat satu kawasan rata yang terletak di lapisan bawah kuku yang dikenali sebagai nail bed.
    Ia terletak di atas urat darah yang halus dan urat ini memberi makanan dan warna merah jambu kepada kuku anda.
    Apabila sel-sel akar nail bed membesar dan membentuk keratin maka akan lahirlah kuku!
    Lapisan-lapisan keratin akan terikat antara satu sama lain dan kuku akan mula tumbuh keluar daripada akar nail bed sehingga ke hujung jari tangan atau jari kaki.
    Kebanyakan manusia mengalami pertumbuhan kuku yang perlahan.
    Malah kuku yang anda lihat sekarang mungkin tidak akan diganti dengan kuku baru dalam tempoh enam bulan atau setahun dari sekarang.
    Di bahagian akar kuku iaitu pertemuan antara kuku dan kulit anda ialah kutikel.
    Setiap kuku mempunyai kutikel masing-masing dan ia membantu menghalang sel baru keratin yang keluar untuk membentuk kuku baru.

    Kasawari burung paling berat di dunia


    Burung kasawari merupakan burung paling berat dan besar di dunia. Bagaimanapun burung ini tidak boleh terbang dan tidak mempunyai keeled sternum atau tulang dada seperti burung-burung lain.
    Burung ini sangat kuat dan dikatakan satu tendangan sahaja terhadap pemangsanya seperti singa boleh mendatangkan maut.
    Burung kasawari betina mempunyai kelebihan mengenali telurnya sendiri walaupun telur-telur itu telah bercampur dengan telur yang dihasilkan oleh burung kasawari lain.
    Sebiji telur burung kasawari berukuran sama dengan 24 biji telur ayam. Ini bermakna ia mengambil masa selama dua jam untuk merebusnya.
    Burung kasawari boleh berlari sehingga 70 kilometer sejam, mengalahkan singa, harimau bintang dan hyena.
    Sikap burung kasawari yang suka memasukkan kepalanya di dalam lubang sebenarnya bertujuan untuk merehatkan lehernya selain menyembunyikan diri.
    Burung ini memakan buah-buahan, bijian dan tumbuh-tumbuhan serta cicak kecil yang terdapat di kawasan gurun atau kering.
    Burung kasawari mempunyai hubungan rapat dengan manusia sejak beribu tahun lalu.
    Peladang di zaman Mesir purba menggunakan burung ini untuk berladang dan telurnya digunakan sebagai hiasan serta mengisi air oleh orang Bushmen.
    Burung kasawari boleh hidup sehingga 40 tahun.

    Apa itu virus, cecacing dan trojan komputer?

    SEJAK beberapa minggu lepas, kebanyakan media massa memberi perhatian yang besar kepada berita-berita mengenai serangan virus atau cecacing komputer yang telah menyebabkan masalah kepada pengguna komputer dan juga negara.
    Nama-nama virus atau cecacing seperti Blaster, Nachi dan Sobig.F tiba-tiba menjadi sebutan ramai, walaupun tidak ramai yang mengetahui apa sebenarnya itu virus komputer.
    Secara asasnya, virus komputer tidak sama dengan virus penyakit walaupun kedua-dua boleh menjangkiti dengan sendiri, kerana virus komputer merupakan program komputer yang direka manusia.
    VIRUS KOMPUTER
    Virus komputer ialah program komputer yang boleh merebak ke dalam komputer dan sistem rangkaian dengan menyalinkan dirinya sendiri (kebiasaannya tanpa pengetahuan pengguna).
    Sejarah penciptaan virus bermula pada pertengahan 1980an apabila Bahir dan Amjad Alvi dari Lahore, Pakistan telah mencipta virus komputer yang pertama untuk menghalang daripada pengguna menyalin perisian mereka secara haram.
    Virus sentiasa memberi kesan negatif kepada pengguna komputer, sama ada ia dilakukan secara suka-suka (ancaman palsu), bermotif merosakkan atau melindungi produk mereka (seperti dilakukan Bahir dan Amjad).
    Program virus kebiasaannya perlu dijalankan sebelum ia boleh beroperasi seperti menjangkiti fail atau program komputer yang kita gunakan.
    Sebaik sahaja kita membuka program atau fail komputer itu, program virus (yang berada didalamnya) akan terus aktif dan menjalankan aktivitinya.
    Memandangkan aplikasi paling popular masa kini ialah e-mel, banyak virus telah dicipta agar dibawa bersama e-mel yang dihantar oleh pengguna dan ia akan terus menjangkiti komputer penerima e-mel apabila lampirannya dibuka.
    Contoh paling terkini virus jenis ini ialah virus Sobig.F. Sebelum ini, medium utama pembawa virus ialah disket yang selalu kita kongsi antara beberapa komputer.
    CECACING KOMPUTER
    Cecacing komputer juga mempunyai persamaan dengan virus komputer tetapi ia tidak memerlukan pembawa (seperti e-mel atau disket) untuk menjangkiti komputer lain.
    Program perisian yang sangat kecil ini kebiasaannya akan mampu menyalinkan dirinya sendiri dan menjangkiti dari komputer kepada komputer dalam satu rangkaian komputer (seperti rangkaian komputer-komputer di sekolah atau pejabat).
    Selepas sebuah komputer dalam rangkaian dijangkiti, cecacing akan melakukan aktiviti pengimbasan (scan) kepada komputer-komputer lain dalam rangkaian untuk mencari kelemahan agar ia boleh menjangkiti lagi komputer seterusnya.
    Ia mampu melakukan beratus atau beribu imbasan dalam seminit yang jika terlalu banyak imbasan boleh menyebabkan sesuatu rangkaian menjadi lembap seperti pengguna sukar mengakses e-mel, membuka laman web dan sebagainya.
    Contoh paling terkini, virus jenis ini ialah cecacing Blaster dan Nachi yang merebak dengan pantas.
    TROJAN KOMPUTER
    Trojan juga termasuk dalam kategori program komputer yang merosakkan. Ia merupakan program yang sering mengelirukan pengguna dengan mendakwa boleh melakukan sesuatu (seperti membaiki kelemahan program komputer) tetapi akan melakukan sebaliknya.
    Program Trojan yang dikenali sebagai Trojan horses itu kadang kala akan memadamkan seluruh cakera keras komputer anda jika ia telah dipasang.
    Bagaimanapun, program ini tidak boleh menyalinkan dirinya sendiri untuk menjangkiti komputer.
    Trojan jenis back door pula akan berada dalam komputer anda dan ‘membuka pintu’ kepada virus atau pengguna komputer di luar mengakses sistem komputer anda.
    Melindungi dari virus adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pengguna komputer kerana ia sebenarnya boleh dihindari jika semua pengguna menggunakan komputer mereka dengan bijak.
    Perkara paling penting perlu dilakukan oleh pengguna komputer ialah menyimpan salinan semua data-data atau fail penting dalam komputer bagi menggelakkan ia hilang jika berlaku masalah akibat serangan virus.
    Pengguna juga perlu sentiasa memastikan perisian komputer sentiasa dikemaskini seperti perisian Windows atau Internet Explorer yang boleh dikemaskini di laman web Windows Update.
    Selain itu, pastikan juga perisian anti-virus seperti perisian Trend, Norton, Symantec dan sebagainya telah dipasang kepada komputer anda dengan sentiasa dikemaskini versi pattern dan enjinnya melalui laman-laman web syarikat perisian tersebut.
    Anda juga perlu mengelakkan diri dari menggunakan disket pada komputer yang tidak diketahui statusnya, mengunjungi laman web yang tidak berfaedah, memindah-terima (download) program atau perisian dari laman web yang tidak dipasti syarikatnya bagi menggelakkan komputer mudah dijangkiti.
    Bagi menggelakkan virus dari e-mel pula, jangan sesekali membuka e-mel yang kelihatan mencurigakan walaupun ia datangnya dari alamat e-mel rakan anda kerana kemungkinan besar itu dihantar dengan sendiri oleh virus dan bukannya rakan anda.